SEBELUM ini pelakon drama Bini-Biniku Perkasa, Yana Samsudin pernah menafikan dia bercinta dengan adik kepada pelakon Farid Kamil, Fadzil Zahari.
Menurutnya, dia dan Fadzil yang juga merupakan pelakon dan penulis skrip di bawah syarikat Metrowealth Sdn. Bhd. itu hanya sekadar teman rapat.
Begitupun, Yana yang ditemui Sensasi Bintang pada majlis pelancaran pesta barangan kemas di Pusat Beli-Belah Mid Valley, baru-baru ini mula terbuka bercerita secara terbuka mengenai hubungan mesranya bersama Fadzil. Dia masih enggan membuka mulut, bagaimanapun ikuti temu bual Yana selanjutnya.
Bagaimana hubungan Yana dengan Fadzil sekarang?
YANA: Saya akui dia ialah lelaki yang rapat dengan saya selepas putus cinta kira-kira tiga tahun dahulu (ketika bersama pelakon Piere Andre). Tetapi, kami hanya kawan dan tidak lebih daripada itu.
Ramai beranggapan anda berdua bercinta kerana si dia sering menemani sehingga disedari ramai wartawan.
Saya sudah mengenali dia empat tahun lalu. Sebelum popular dia sudah mula temankan saya ke mana sahaja.
Memang saya mengajaknya untuk temankan saya kerana saya tidak biasa berjalan seorang diri. Tetapi bukan dia seorang sahaja. Kawan-kawan yang lain turut menemani saya.
Bagaimana anda boleh mengenali dia (Fadzil)?
Saya kenal dia menerusi abangnya, Farid. Saya dan Farid adalah antara pelakon yang mula-mula ikat kontrak dengan syarikat Metrowealth. Ketika itu tidak ramai lagi pelakon bawah Metrowealth. Jadi, pelakon-pelakon yang sain kontrak rapat antara satu sama lain malah saya juga rapat dengan keluarga Farid termasuk adiknya, Fadzil.
Adakah Fadzil juga rapat dengan keluarga anda?
Ya, dia sudah beberapa kali berkunjung ke rumah keluarga saya di Johor Bahru setiap kali ada kerja di sana.
Bagaimana penerimaan keluarga terhadap Fadzil?
Jika berkawan dengan sesiapa saja, saya tidak pernah menyembunyikannya daripada pengetahuan keluarga. Ibu dan bapa saya okay dengan dia.
Beralih pada soalan lain. Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya bakal keluar dengan filem terbaharu iaitu Dua Kalimah dan Adnan Sempit 3. -Kosmos
No comments:
Post a Comment