MELAKA: Mengejutkan apabila seorang remaja lelaki mencabul kehormatan seorang wanita dalam tandas di sebuah stesen minyak di Jalan Munysi Abdullah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.25 petang, mangsa yang juga pegawai khidmat pelanggan berusia 28 tahun terkejut apabila remaja berusia 13 tahun terbabit merempuh masuk ke dalam tandas wanita di stesen minyak itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek kemudian bertindak memeluk, mencium dan meraba mangsa.
“Wanita itu menjerit untuk mendapatkan bantuan sebelum jeritannya didengari orang awam dan pekerja stesen minyak berkenaan.
“Mangsa berjaya diselamatkan, manakala remaja terbabit ditangkap sebelum diserahkan kepada polis sejurus selepas itu,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, remaja itu ditahan reman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
Sementara itu, dalam laman sosial facebooknya, mangsa mendakwa ketika dia membuka pintu tandas itu untuk keluar, datang seorang remaja berusia belasan tahun memegang dan menutup mulutnya.
“Dia mencium pipi dan meraba buah dada saya, ketika bergelut cuba melawannya, saya menjerit meminta pertolongan sehingga pelanggan dan kakitangan sebuah bank berdekatan terdengar jeritan saya.
“Ketika bergelut saya sempat menggigit jarinya, selepas beberapa kali mencuba untuk membuka pintu akhirnya saya terdengar suara beberapa orang di luar tandas,” katanya.
Menurutnya, dia sekali lagi mencuba membuka pintu berkenaan.
“Saya bernasib baik kerana ketika itu terdapat seorang pekerja stesen minyak bersama seorang wanita dan lelaki berada di luar.
“Mereka menangkap remaja berkenaan dan menahannya di tandas lelaki sehingga polis sampai,” katanya.